
Berat sangat tuh, mana adil seh.
~Le Dzar de Francesco
Chief Editor, Durbar News Network
Adalah, pada satu masa nih, tengah lepak-lepak katak, saya pernah didatangi seorang sahabat, pun budak dikir barat juga, tetapi lebih otai jika hendak dibandingkan dengan saya, yang mempertikaikan tentang alokasi markah bagi senikata. Pada firasat beliau, alokasi 100 markah bagi senikata adalah terlalu berat, dan dapat menjejas kredibiliti persembahan sesebuah kumpulan. Beliau berkata,
"Kau tengok eh Dzar, kalau satu team nih main compact, awok-awok power, paluan power, juara semua powerlah, abeh, sebab senikata dorang tak kuat, lepas tuh kalah dengan team lain yang main set tak se'power', tapi senikata hebat. Kan tak adil tuh? Sebab senikata nih tak ramai audience boleh nilaikan, cuma segelintir pengadil jer yang boleh 'judge', jadi pada penonton, bila result keluar sedemikian, dorang akan rasa tak adil. Lagipun, how you judge senikata? Its very subjective. Lain orang lain cara tulisan, lain cara penghayatan, lain kosa kata. Jadi, pada aku, markah senikata patutnya turun 50 jek."
Sebagai seorang penulis senikata, memang saya tidak setuju. Walaupun saya bukan pengadil, mahupun seorang aktivis yang mapan, saya lebih kurang tahu menilaikan peranan senikata dalam set persembahan. Namun begitu, untuk mengelakkan perdebatan yang lebih hangat, saya cuma senyum dan mengangguk kepala.
Daripada perbualannya, saya dapat melihat teras perbahasan beliau adalah seperti berikut:
- 100 markah banyak sangat untuk senikata.
- Fokus markah yang lebih patut diberikan di aspek lain, yang dapat mendukung persembahan dikir barat.
- Tulisan senikata tuh subjektif, lantas tak boleh diadili.
Sebelum kita mendalami isu ini, mari kita lihat rubrik pengadilan dalam kesenian dikir barat. Oleh kerana kesenian ini adalah kesenian yang menyeluruh dan merupakan kombinasi kesenian Melayu yang lain, ianya terbahagi kepada beberapa disiplin, seperti berikut: juara, karut, paluan, awok-awok dan senikata. Pungutan mata maksimum bagi setiap disiplin adalah 100 markah. Senikata disini merangkumi satu per lima, ataupun 20% daripada pungutan markah maksimum, 500. Sekiranya anda mengeluarkan salah satu daripada lima disiplin tersebut, ternyata, akan cacatlah persembahan dikir barat.
Senikata merupakan landasan yang akan menentukan arah sesebuah persembahan. Ia juga dapat melakarkan intonasi persembahan. Maka kerana itulah, kami diberikan tema, untuk dikupas, supaya dapat disampaikan melalui wadah dikir barat. Sekiranya si penulis menulis naskah yang sedih, maka akan menjadi janggal sekiranya set tersebut dilakukan dalam 'setting' yang girang. Sekiranya saya dapat memberikan sebuah analogi (mentang-mentang ajar sains), senikata itu bagaikan rangka tulang. Awok-awok pula merupakan isi, daging dan kulit. Paluan adalah nadi degupan jantung dan juara karut adalah darah yang mengalir kedalam sistem tubuh badan.
Sinergi antara sesama adalah penting untuk tubuh berfungsi dengan normal. Tubuh tidak boleh berfungi tanpa salah satu daripada komponen yang telahpun saya sebutkan tadi. Lebih-lebih lagi tulang (senikata), kerana ianya adalah struktur yang memberikan kemampuan kompenen lain untuk berfungsi. Tanpa tulang, jantung tiada tempat untuk bernadi (rib cage), isi dan kulit tiada tempat untuk berpaut dan aliran darah yang mengandungi oksigen tidak dapat digunakan dengan berkesan (efisien). Tanpa senikata, tok juara tidak dapat mengalunkan suara yang mendayu, tukang karut tidak dapat menyampaikan mesej, awok-awok tidak dapat melantunkan suara dan paluan tidak dapat menentukan irama dan tempo persembahan yang sesuai.
Lantas, alokasi 100 markah bagi senikata adalah wajar, sama beratnya dengan disiplin yang lain, kerana kepentingannya tidak dapat dipertikaikan. Saya akur, kadang-kala, apabila kita mahir dalam sesuatu aspek dikir barat, contohnya paluan, kita dengan tidak sengaja meremehkan aspek yang lain kerana kurang penghayatan dalam disiplin tersebut. Maka tidak hairanlah, ramai di antara kita selaku aktivis tidak begitu perihatin tentang kekurangan selain aspek yang mereka pakari. Si awok tak begitu ambil kisah apa yang beliau menyanyikan, asalkan 'feel'. Si paluan tidak begitu mengendahkan intonasi suasana, asalkan mampat, dan si juara karut tidak menghayati bait-bait tulisan asalkan sedap didendangkan.
Tentang bab tulisan tuh subjektif, yer, memang saya akur, tapi ada had (agree to a certain point). Pastinya, seperti cara permainan dikir barat, setiap penulis mempunyai gaya tulisan yang tersendiri. Seperti contoh, Sdr Luqman (penulis senikata Dwi Durrah), gemar menggunakan kosa kata yang berat dan puitis. Sdr Ayam pula (penulis senikata Ditu), lebih aggresif dari segi intonasi tulisan dan suka menggunakan ayat yang senang untuk dilafazkan dari segi diksi. Tulisan kedua-dua penulis berbakat ini tetunya akan menarik perhatian golongan yang berbeza. Bagi mereka yang gemarkan puisi abstrak, mungkin akan memuji keupayaan tulisan si Luqman, dan bagi mereka yang bencikan penggunaan kosa kata yang sukar difahami kerana dapat menimbulkan kekeliruan, mungkin akan berpihak kepada Sdr Ayam.
Namun begitu, dalam adat penulisan, perkara yang lebih diambil berat adalah dalam segi kupasan. Maklumlah, ini pertandingan. Senikata dapat diadili melalui kesalahan ayat yang tidak gramatis. Ia juga dapat ditentukan dengan kupasan yang baik, sama ada si penulis dapat melahirkan pandangan yang unik serta kreatif semasa mengupaskan sesebuah tema. Sekiranya masih ada lagi yang mengatakan bahawa kesenian tulisan itu subjektif, lantas tidak boleh diadili, maka tidak salah untuk saya mengatakan bahawa kesenian lain seperti ragam awok-awok contohnya, juga subjektif kerana apa yang dianggap cantik oleh sesebuah kumpulan, mungkin ditaksirkan sebagai keterlaluan bagi sesetengah golongan yang lain. Ingin saya tekankan fokus serta matlamat kita masuk bertanding dalam sesebuah pertandingan adalah untuk diadili dan dipertikaikan, oleh sebuah panel juri, yang mempunyai citarasa dan kemahiran mereka sendiri. Jadi, subjektif atau tidak, aspek senikata perlu diadili, kerana ianya merupakan salah satu aspek penting dalam kesenian dikir barat.
Oklah, tu sekadar yang saya ingin kongsi. Ini cuma pandangan saya sahaja, tidak melambangkan ideologi mana-mana pihak. Sekiranya tidak keberatan, Team DNN juga ingin membaca pandangan anda, sekiranya ada. "Patut ker alokasi mata senikata sebanyak seratus markah?". Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan, selamat berlatih kepada semua kumpulan yang akan bertanding di Piala Ilham pada 31hb Jan nih. Sekian, wassalam. - DurbarNews