Saturday, November 15, 2008

Reviu akhbar Berita Harian mengenai Mega Perdana 2008

Reviu: Persembahan Bawa Kesegaran
oleh: Shah Iskandar Mahfuz (penulis sambilan)

Tahun ini, Pertandingan Dikir Barat Nasional atau Mega Perdana 2008 anjuran Gabungan Kumpulan Dikir Barat Singapura (Gabungan) menyaksikan lapan kumpulan lelaki berentap hebat. Para finalis terdiri daripada kumpulan Keris, Andika, Teh Anang, Nang Kepong Nang, Si Anak Seni, Sireh Bertepuk Pinang Menari, Durbar Dua dan Andika Kencana. Peringkat Akhir di Auditorium NTUC itu mendapat sambutan hebat dengan kesemua tiket habis dijual dua minggu sebelum pertandingan.

Acara bermula pada 4.30 petang dengan ketibaan tetamu terhormat, Dr Maliki Osman, Setiausaha Parlimen (Kementerian Pembangunan Nasional). Para penyokong kumpulan masing-masing datang dengan baju seragam. Mereka bersorak apabila kumpulan yang mereka sokong naik ke atas pentas. Satu kelainan yang mencuit hati pada tahun ini ialah tayangan rakaman yang menunjukkan cabaran-cabaran yang harus dilakukan kumpulan masing-masing seperti manyanyi dan mempersembahkan Boria, menggunakan baldi sebagai rebana, Tok Juara juga disuruh bermain rebana.

Walaupun gelanggangnya kecil berbanding dua tahun lalu semasa diadakan di Dewan Konsert Esplanade, Teater Di Persisiran, semangat dan kemeriahan pertandingan pada malam itu tetap utuh kerana penjiwaan mendalam yang ditunjukkan oleh para peserta dan para penyokong. Johan pertandingan, Teh Anang daripada kelompok kumpulan Kelana Purba yang pernah menjuarai pertandingan sebanyak tiga kali, tidak mengecewakan. Diterajui Aqmal N (Johan Anugerah 2004) sebagai Tok Juara, kumpulan ini turut menjulang trofi Kesenian Terbaik pada malam itu.

Meskipun kumpulan Keris menunjukkan persembahan unik dengan konsep ala latin dan gaya nyanyian berharmoni yang licik, kumpulan yang telah ditubuhkan selama lapan tahun ini hanya berjaya mendapat gelaran naib johan, tetapi berjaya mendapat trofi Pakaian terbaik. Tenpat ketiga, Kumpulan Durbar Dua, yang diterajui Elfee Ismail, pemenang Juara Klasik Nusantara 2007 anjuran Radio televisyen Malaysia (RTM), merangkul hadiah individu Tok Juara Terbaik pada malam itu dengan persembahan mantap dan bertenaga tetapi dengan konsep yang selamat.

Para pengadil terdiri daripada lima aktivis seni - Khairudin Zainal, Zaidy Nandir, Zaharian Osman, Qamar Baba dan Yaziz Hassan - kesemuanya berpengalaman menilai pelbagai kriteria pengadilan. Salah seorang juri, Encik Qamar Baba, berpendapat bahawa kebanyakkan kumpulan pada tahun ini menunjukkan wajah-wajah yang 'tension'. "Jika persembahan dilaksanakan denga semangat semula jadi, ia akan kelihatan lebih lancar dan tidak seperti dipaksa," ujar beliau. Presiden Gabungan, Encik Rosley Samad, berkata: "Singapura telah berjaya menaikkan mutu dikir di sini sehingga mereka di negeri Kelantan telah pun berjinak-jinak mengikut gaya dikir kita." - Berita Harian