Thursday, November 13, 2008

pandangan

Mega Perdana yang baru sahaja berlalu mengundang pelbagai pandangan dan buah pendapat yang berbeza. Pada kali ini, DNN akan mengutarakan pandangan dari seorang pemain rebana yang termashyur dari seberang, Mohd Sulhie bin Yusuf, atau lebih dikenali sebagai Abang Yie. Baru-baru ini, beliau dijemput oleh Kumpulan Andika untuk menghadirkan diri di pertandingan national yang berprestij ini. Mari kita selidik, pandangan seorang pakar didalam arena kesenian dikir barat.

Dikir Barat…perlu cetusan kreativiti untuk terus mengangkat martabat dan mutu persembahan. Inilah yang dimahukan oleh para juri pada pertandingan yang paling kemuncak ukurannya di bumi Singapura berbanding berpuluh lagi pertandingan-pertandingan lain yang kerap kali diadakan.

Jika dirangkak mengenali apa itu kreativiti, sudah pasti batasan menghasilkan perkara baru ini menjadi garis yang amat kabur pada penglihatan. Kekaburan ini akan menimbulkan kekhilafan kepada pengguna dan pengkarya seni dikir ini dalam mengolah bentuk seni ini. Lantas percanggahan idea menular pada setiap insan yang berada di paras agak tinggi hierakinya.
Di Mega Perdana 2008 yang lepas, hamba perhatikan tahap kreativiti yang dibenarkan amat luas ruang legarnya berbanding dikir barat di Malaysia. Walau dipisahkan oleh selat seluas jengkal anak jin, namun perbezaan syaratnya jauh tersasar.
Keputusan hakim langsung memeningkan kepala hamba yang berputar-putar mencari apa yang sebenarnya dicari oleh mereka semua. Apa yang paling berat ditekankan dalam dikir barat? Suara? Gaya? kreativiti? Irama Paluan? dari alat muzik dikir boleh menghasilkan bunyi gitar? Drum atau seruling… keliru oh aku keliru…Mungkin aku terlalu mentah di alam Dikir Singapura…

Lagu Jogho…Lagu-lagu yang dipertandingkan hampir keseluruhannya direka cipta iramanya sendiri, berdasarkan lagu-lagu yang sedia ada namun gubahan itu berjaya diselindungkan peniruannya dek kerana bijaksana mengolah. Perihal ini harus dibanggakan. Cuma dikir barat di Malaysia penghakimannya tidak berapa menerima lagu-lagu dikir yang terlalu memanjangkan setiap sebutan yang sama perkataan..contohnya seperti..oooooooo…laaaaaaaaaa dan seumpamanya.

Tukang karut…Karut yengkinya sudah berpecah kepada berbagai irama sehingga hamba sendiri tidak boleh mengenali yengki atau matang kerana iramanya berbagai bentuk. Jika hamba diberi ruang untuk bertanya pada hakim pada hari itu, hamba ingin bertanya ‘apakah yang dikategorikan dalam lagu yengki? Pantun 2 kerat atau 4 kerat?…Berbeza di Malaysia yang hanya dibenarkan mengalunkan yengki yang pernah dibuat oleh orang dulu-dulu. Hanya pembaharuan lirik dibenarkan, tidak pada irama. Lagu matang boleh diterima di Malaysia kerana hampir keseluruhan mempunyai syarat di sini iaitu pantun 2 baris diselangi sahutan awak-awak. Irama juga patut dipuji. Karut Patani juga agak pelik kerana masa tukang karut bercakap melebihi maksima 8 patah perkataan sebagaimana lazimnya di Malaysia. Perkataan berjela-jela ayatnya jika di sini telah menyalahi etika pataninya. Wau bulan pula dilajukan tempo baris pertama tapi ditarik balik kelajuannya pada baris hujung semasa sahutan awak-awak. Jika di Malaysia, hal ini dikira rosak akan penguasaan wau bulan. Namun di sana tidak menjadi kesalahan kerana semua kumpulan wau bulannya memang begitu.
Sahutan awak-awak amat baik dari segi lantunan vokal, lapan kumpulan yang bertanding tiada satu pun yang tidak sampai nada sahutannya. Walau lagu joghonya agak tinggi, tapi tetap sampai sahutannya. Hal ini patut dikagumi. Gerak tari juga harus mendapat pujian dari pendikir Malaysia kerana bisa menguasai minat penonton melayani lagu yang dialunkan.

Secara keseluruhannya, setiap kumpulan yang bertanding mempunyai kelebihan dan keunikan sendiri. Kelunakan suara tok jogho dan tukang karut masih banyak pilihan di sana. Gerak tari berbagai ragam juga mampu menjadikan dikir singapura satu persembahan yang menarik. Tahniah pendikir singapura.
Satu lagi yang harus mendapat pujian…semua artis yang telah popular tetap turun berjuang dalam arena dikir. Seni dikir bukan seni murahan di sana. Itu harus menjadi kebanggaan pada semua pendikir dunia.
(dipetik dari http://arjunasukma.com/, 11 hb Nov 2008)