Wednesday, November 19, 2008

jom kongsi pandangan ilmiah...

Pernahkah anda tertanya-tanya, apabila sedang hangat didalam perdebatan dengan orang lain, “Apa yang dekni nak sebenarnya?” Fokus perbahasan dialihkan. Perbicaraan tiada kesimpulan. Orang tanya A, dia jawab B. Heh, macam pernah dengarrrr jer. Tiba-tiba (cheh, drama), penulis teringat akan nota kuliah yang menjelaskan hal perilaku seperti ini. Izinkan saya berkongsi sama, adaptasi dari nota tersebut...

Tata susila atau kelakuan (behaviour) seorang banyak bergantung pada perspektif individu tersebut terhadap suasana mahupun alam yang beliau duduki. Cara perbualan, cara kita mengemukakan bantahan, tidak mencerminkan kedudukan realiti yang sebenarnya tetapi menunjukkan tahap pemahaman subjektif tentang satu permasalahan. Dengan kata lain, kelakuan kita adalah hasil daripada intepretasi yang berat sebelah, tentang sesuatu perkara. Seperti contoh, apabila seorang murid dijadikan ketua kelas, ia memberikan indikasi serta implimentasi yang berbeza kepada murid-murid lain. “Asal dia eh? Cikgu suka dia kot.” Atau “Aku tak bagus agaknya. Sebab tuh cikgu pilih dia.” Atas dasar andaian inilah, kelakuan seorang individu mula dibentuk.

Sayangnya, apabila perkara sedemikian rupa berlaku, apabila diberikan peluang untuk menghuraikan sesuatu secara peribadi, kita terjerumus dalam membuat kesalahan dari segi persepsi (hampir-hampir aku tulis ‘pepsi’). Sebabnya, manusia, secara semula jadi, akan melakukan sesuatu atas dasar andaian. Secara itlak, tidak ramai yang akan menganalisa tindak-tanduk mereka mahupun siasat tentang keadaan yang sebenarnya (aku pun kekadang mcm nih). Cakap-cakap pasal motif nih, mesti korang tertanya-tanya, apa motif aku tulis bende-bende nih semua? Hah, nilah aku nak jelaskan. Menurut ahli falsafah terkemuka, Rudolf Dreikurs (1968), yang menukil daripada ideologi Alfred Adler, mengatakan: "Motif setiap kelakuan, pada kanak-kanak khususnya, termasuk yang negatif, adalah untuk mengecapi pengiktirafan masyarakat."

Dreikus telah membahagikan skema tersebut kepada 4 fasa:
1. Fasa "Perhatian"
Ini merupakan antara ciri yang paling ketara di dalam keperibadian kanak-kanak. Mereka akan menangis, membuat kacau, berlaku malas, menjadi degil, pendek kata, akan melakukan apa sahaja demi mendapat perhatian seorang dewasa. Namun begitu, ciri ini tidak semestinya perlu dibalas dengan perhatian. Ini kerana, apabila perhatian diberikan, kadang-kala kedegilan seseorang itu meningkat.

2. Fasa "Pergolakan Kuasa"
Apabila seorang kanak-kanak tidak mendapat perhatian yang diinginkan, beliau akan cuba untuk merampas 'kuasa' dari seorang yang dewasa. Semakin kita menunjukkan amarah dan memberikan amaran, beliau akan semakin 'menjadi', lantas semakin hilang pertimbangannya. Tekanan yang diberikan oleh seorang yang dewasa hanya akan menimbulkan ketidak-puasan kepada kanak-kanak tersebut.

3. Fasa "Dendam"
Ketiga, apabila percubaan untuk merampas kuasa tampak gagal, alasan yang selalu diberikan adalah, "mereka tidak adil!". Kanak-kanak dalam fasa ini percaya bahawa orang lain sengaja menjatuhkan mereka, lantaran, akan cuba untuk membalas dendam. Mereka begitu taksub dengan mentaliti, "semua orang tak suka aku" dan cuba untuk menjolok kemarahan pihak lain. Lantas, apabila pihak tersebut betul-betul marah, ianya dijadikan bukti lalu mengukuhkan persepsi "mereka tidak adil", yang dibicarakan sebelumnya. i.e. "Aik? Marah? Releklaaaaaa"

4. Fasa "Kelemahan"
Akhir sekali, apabila kanak-kanak yang bermasalah tidak mendapat perhatian yang diinginkan, kalah dalam pergolakkan kuasa dan gagal membalas dendam, semangat yang terdahulunya kental, menjadi lemah lalu lenyap. Di dalam fasa ini, mereka berputus asa dan cuba untuk mengasingkan diri dari kelompok yang asalnya. Mereka tidak mampu menanggung malu lantas cuba untuk menghindar dari sebarang fokus perhatian. Ini kerana, kanak-kanak di dalam skema ini percaya, orang lain akan menjauhkan diri sekiranya mereka menunjukkan kelemahan.

Skema Dreikus telah menunjukkan sedikit sebanyak fasa-fasa yang dialami kanak-kanak apabila mereka mula menunjukkan tanda-tanda kedegilan. Namun begitu, jangan silap, skema sedemikian tidak kurang implimentasinya kepada orang yang sudah dewasa, tetapi mempunyai kematangan persis seorang yang masih keanak-anakkan. Theori ini sudah jelas terbukti kesahihannya apabila diimbas kembali gelagat sesetengah pihak di tagboard beberapa hari yang lalu. Sampai di sini sahaja, moga-moga apa yang disampaikan menjadi ilmu tambahan untuk mengharungi perjuangan seni yang penuh dengan onak dan duri. Wassalam. - DurbarNews
(Building Classroom Discipline, CM Charles (8th edit), Chapter 5, Logical Consequences: Rudolf Dreikurs)