Kehangatan Pertandingan Dikir Barat kian terasa sekali lagi. Kali ini, giliran kumpulan-kumpulan dikir barat setempat untuk bertanding di peringkat tertinggi, Mega Perdana pula. Belum sempat mereka mengambil nafas untuk berehat dari kekecohan bertanding di Layar Citra Dikir, timbul satu lagi 'tsunami' yang akan datang. Pasti ramai yang akan dibelenggu masalah seperti menukil idea-idea untuk penulisan lirik, ragam, lagu, paluan, dan sebagainya. Walhal, perkara sedemikian kadang-kala memerlukan masa yang panjang untuk melahirkan hasil yang berkualitas.
Dalam pada itu, pasti ramai juga yang terpaksa turun menjalani latihan intensif memandangkan masa yang kian suntuk untuk pertandingan. Yang bujang trang tang tang pasti akan menghadapi kemelut kepenatan, baru balik kerja, singgah CC, training. Yang berpasangan pula pasti akan menghadapi temanita mahupun teman lelaki yang kurang 'understanding', memberikan alasan berlakunya kemarau komunikasi kerana asyik sibuk dengan training. Mereka yang mempunyai ibu bapa yang prihatin pula tentu akan memekakkan telinga dengan celotehan seperti, "Dikir, dikir, dikir! Bukannya dapat duit!" atau, "Hari-hari dikir barat.. Pergilah rehat..besok kerja.. hari-hari balik malam!". Pengalaman sedemikian rupa sudah sinonim dengan kehidupan seorang pendikir. Lantas, timbul persoalan... mengapa kita masih terus berdikir?
Dikir barat merupakan platform untuk mengetengahkan idea-idea baru, untuk mencabar kumpulan-kumpulan lain dengan mutu kesenian masing-masing, untuk mendapatkan penghargaan, baik dari kaca mata pengadil mahupun penonton. Di samping itu, ianya membina ukhwah diantara manusia berlainan latar belakang. Ada yang bekerja sebagai despatch, jual-jual kereta, pendidik, jual anggur, emak-emak, mekanik, student berlainan peringkat dan sebagainya. Yang pasti, apabila turun bertanding, mereka bersatu dan memberikan yang terbaik. Pernah dikatakan bahawa manusia adalah 'tribal creatures', golongan yang suka berpuak-puak dan mendiskriminasi antara sendiri. Namun begitu, itu adalah lumrah naluri manusia dan angkara naluri tersebutlah, maka pertandingan dikir barat akan sentiasa bersemarak dengan semangat positif mahupun entiti negatif. Akhir kalam, teruskan berdikir, majulah seni, berdaulat bangsa. Selamat menjalani latihan untuk Mega Perdana 2008, peringkat saringan. Jumpa anda di sana! - DurbarNews