Monday, April 27, 2009

Terpelecok di tengah jalan... LATEST

Durbar Dua Digugurkan Dari Piala KGMS.


Dengan saga yang menghantui kami, maka sesuailah nama lagu yang digunakan. "Take Me Out", ataupun "Bawalah Daku Keluar", dari Franz Ferdinand. It was fun while it lasted. Good times, good memories.

BRADELL HEIGHTS CC - Bittersweet. Pahit manis. Ok, mungkin terbalik. Manis pahit. Sekiranya dapat digambarkan perasaan penulis selepas selesai pusingan separuh akhir Piala KGMS, begitulah agaknya. Apakan tidak, pada awalnya Durbar Dua diumumkan sebagai antara kumpulan dikir barat yang telah melangkah ke pusingan akhir. Namun begitu, penulis menerima sms pagi ini, dari Sdr Rezal, yang menyatakan bahawa Durbar Dua telah digugurkan dari peringkat akhir kerana telah melanggar undang-undang pertandingan. Agak terkejut juga, kenapa sampai jadi begini. Haaa, mesti ramai yang ingin tahu, "ish, apa yang Durbar Dua buat sampai drastik nah hukuman dorang?". Inilah jawapannya:

"kumpulan Durbar Dua telah didapati menggunakan khidmat 3 peserta yang tidak disenaraikan dalam senarai nama peringkat saringan. Maka dengan berat hati, dan dibincang bersama pihak penganjur dan para juri, kami telah sebulat suara bersetuju untuk menggugurkan kumpulan Durbar Dua untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Keputusan ini dilakukan demi menjaga kemaslahatan kumpulan-kumpulan lain yang akur akan peraturan ini."
(dipetik dari lelaman rasmi Piala KGMS, http://www.pialakgms.blogspot.com/)

Dukacita. Rasa-rasanya terlalu remeh sekiranya perkataan itu digunakan untuk menyingkap perasaan penulis bagi saga yang sudah berlaku. Banyak sekali persoalan yang timbul di lubuk hati. Penulis akur, macam rasa bersalah pula dalam hal ini, sebab saya sendiri yang hadir di taklimat peringkat saringan. Sekiranya dapat diimbas kembali, ya, memang wujud peraturan yang menyatakan bahawa sebarang penukaran ahli tidak dibenarkan. Namun begitu, ada soalan yang telah diajukan tentang hal ini semasa taklimat dijalankan. Soalan itu berligar tentang masalah para pendikir yang tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya bagi tempoh 3 bulan pertandingan ini dijalankan. Mereka meminta agar peraturan tersebut dilonggarkan agar dapat meningkatkan kuota penukaran ahli. Pihak penganjur telah menjelaskan bahawa perkara sedemikian dibenarkan, namun begitu, akan digugurkan calon. Tidak pula disebutkan tentang gugurnya penyertaan sebuah kumpulan, ataupun pemotongan markah.

DNN tidak menuding jari ke arah sesiapa, pihak penganjur mahupun wakil Durbar Dua yang telah dihantar ke sesi taklimat. Sebagai peserta, kami hanya akur dan patuh terhadap tindakan yang telah dijalankan. Maklumlah, sekiranya penulis menjadi penganjur, tentunya kita juga ingin peserta lain untuk mematuhi peraturan yang telah disediakan. Namun begitu, di sini, ingin kami usulkan beberapa perkara hanya untuk renungan bersama.
  • Durbar Dua adalah sebuah kumpulan dikir barat yang kecil. Sekiranya mereka tidak menyertakan lima ahli yang berbeza pada peringkat separuh akhir, sebagai ganti kepada lima (ya, ada ralat. bukan tiga, tetapi lima) yang sibuk dengan pekerjaan, NS, keluarga, dan sebagainya, maka kemungkinan besar persembahan kita pada Ahad lepas akan menjadi cacat. Jumlah awak-awak hanya akan menjangkau 9 orang.
  • Persoalannya sekarang, apakah kita akan memalukan kumpulan dengan terus bertanding, ataupun menjaga martabat serta kedaulatan seni dikir itu sendiri, dengan memberikan peluang kepada ahli lain, yang mampu meluangkan masa minggu untuk menjayakan persembahan kami?
  • Ada diantara lima ahli yang disertakan pada peringkat saringan adalah merupakan ahli Durbar Dua yang baru. Sekiranya mereka tidak disertakan dalam apa-apa posisi selama tiga bulan pertandingan ini dilangsungkan, apakah reaksi mereka, selaku aktivis yang ingin mengorak langkah di dalam kumpulan dikir sendiri? Adakah mereka sekadar pemberi semangat (moral supporters) kepada kumpulan kita? Perlukah mereka menunggu sehingga Piala Raja Panggung 2009 untuk menjamah pentas?
  • Pada asalnya (semalam), kami diberitahu bahawa 50 markah akan dipotong kerana melanggar undang-undang pertandingan. Pagi ini, kami telah digugurkan sama sekali daripada pertandingan. Dua persoalan timbul. Pertama, mengapa pemotongan markah yang sedemikian berat tidak diuar-uarkan semasa taklimat? Kedua, apakah sistem serta protokol yang dipatuhi oleh pihak penganjur sehingga mereka seolah-olah memberikan gambaran kepada kami bahawa hukuman bagi kesalahan ini belum dituliskan secara hitam putih dan hanya didiskusikan semalaman?
  • Seperti kumpulan-kumpulan yang lain, kami juga melalui proses pemberian IC secara individu. Setiap ahli telah diteliti oleh pihak penganjur di bilik pentadbiran di tingkat 2. Ada desas desus yang mengatakan bahawa kami menggunakan senarai nama peserta di peringkat saringan untuk peringkat separuh akhir. Perkara sedemikian adalah tidak benar sama sekali kerana IC yang digunakan untuk peringkat ini adalah empunya mereka yang telah menjamah pentas. Pengunaan IC dari pihak ketiga tidak pernah terlintas di fikiran kami sekumpulan.
  • Kita juga telah dimaklumkan akan penguguran pagi ini, jauh lebih lambat berbanding kumpulan Balqis, yang telah diberitahu bahawa mereka disertakan ke dalam peringkat finals semalam. Tidakkah afdal, bahawa sekurang-kurangnya, kita dimaklumkan dahulu atas penguguran penyertaan kami, sebelum kumpulan yang menyusul diberitahu akan perubahan urutan?

Berat mata yang melihat, berat lagi bahu yang memikul. Penulis ingin menyusun sepuluh jari kepada kerabat Durbar Dua yang saban hari turun latihan untuk menjayakan peringkat separuh akhir ini. Insha allah, sebagai muhasabah diri, akan diusahakan agar perkara ini tidak berlaku lagi. Alhamdulillah, kami berjaya menduduki tempat keempat bagi pusingan ini. Rasanya berbaloi juga pengorbanan para ahli meskipun saya akur, berat sekali untuk memberikan komitmen seratus peratus, lebih-lebih lagi dalam kemelesetan ekonomi. Harapan kami untuk pertandingan seterusnya? Hanya inginkan ketelusan dan kematangan dalam pengendalian protokol pertandingan. Its a touchy subject. Kami juga pernah melaluinya pada Piala Buluh Perindu 2009. Lantas, perlunya penelitian khusus dalam melakarkan peraturan, lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan pemotongan markah ataupun menggugurkan sesebuah kumpulan. Wallaalam bissawab. - DurbarNews

Tanda tekap nila yang penuh dengan ironi. Tukar tanda seru kepada tanda soal.